I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, April 22, 2011

Adakah Bumi dan Langit Akan Menangis Bila Kita Pergi Nanti?

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Mencungkil salah satu surah dari tujuh surah yang kita kena baca setiap hari. Berdasarkan beberapa hadis, Imam al-Banna minta kita membaca surah tersebut setiap hari . Surah al-Dukhan tidak asing bagi kita semua.

Terjumpalah kita ayat:


فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ وَمَا كَانُوا مُنظَرِين

Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi (ayat 29 surah 44).

Kesombongan dan ketinggian firaun dan ribuan bala tenteranya menjunam, mati dalam keadaan yang hina. Ditelan laut yang mencantum selepas terbelah, buat laluan Nabi Musa dan Bani Israel. Cantuman itu sungguh bergelora dan ganas, laut kembali tenang selepas memusnahkan mereka.

Tiba-tiba Allah S.W.T mengatakan, peritiwa mati dan musnahnya penguasa sombong dan bala tenteranya itu tidak membuat langit dan bumi menangis.

Apakah langit dan bumi menangis?

Dalam kitab al-Kasyaf karangan Zamahsyari, tafsir yang membongkar rahsia balaghah al-Quran, sejak jahiliyah, orang-orang arab akan mengatakan bila ada kematian orang yang dimuliakan atau disayangi; bulan, bintang dan matahari turut menagis atas pemergian itu.

 ما من عبد إلا وله في السماء بابان باب يخرج منه رزقه وباب يدخل منه عمله وكلامه فإذا مات فقداه وبكيا عليه وتلا هذه الآية
 { فما بكت عليهم السماء والأرض }

Walaupun hadis di atas daif, namun terdapat banyak seumpamanya dalam riwayat dan sanad yang berbeza, saling memperkukuh maknanya. Hadis ini disebut ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini.

Tidak seorang hamba pun melainkan baginya di langit ada dua pintu. Satu pintu buat keluar rezeki untuknya dan satu pintu buat masuk amalannya.

Bayangkan kedua pintu itu akan menangis kerana terpaksa memberi khidmat kepada manusia yang durjana dan dimurkai Allah S.W.T.

Pintu kedua pula menangis bila amalan yang baik dan perkataan yang indah, tidak kunjung datang untuk tembus ke langit, melaluinya.

Bumi pula akan gembira kerana di tubuhnya yang terbentang luas, dijejaki oleh orang yang soleh. Bumi menjadi pentas untuknya sujud beribadah, pentas untuknya berdakwah dan pentas buatnya berjihad.

Bumi menagis pula bila terpaksa berkhidmat kalau yang menjejaki atasnya, musuh Penciptanya sendiri. 

Ayuh tanya diri ini! 

Adakah bila kita mati, bumi akan menagis kehilangan kita, langit akan meratap atas pemergian kita; kerana mereka berdua kehilangan orang yang mulia di sisi Allah S.W.T.

Mereka merindui orang yang selalu pulang malam kerana berusrah atau berceramah. Bermesyuarat atau berdakwah. Mereka merindui insan yang mengalun bacaan ma'thurat ditubuh mereka. Mereka kehilangan pemuda yang sibuk menghafaz al-Quran atau hadis Nabi.

Atau sebaliknya  bumi bergembira kerana telah bebas menanggung kita yang hidup berpura-pura di atasnya. Menipu bila berniaga. Berasuah bila berjawatan. Menzalimi bila berkuasa. Sombong bila berilmu. Lokek bila kaya. Khianat bila diamanah. Engkar bila berbaiah.

Ada langit dan bumi yang akan menangis bila kita diusung ke pusara kelak.

Atau ada langit dan bumi yang lega dengan perginya kita kelak.

No comments:

Post a Comment